Tuesday 4 February 2014

Mengukir Impian Di Padang Ragut

         Lama sudah aku tidak menjenguk laman blogku ini. Aku sudah hampir melupakannya ...Alhamdulillah tiba-tiba pagi ini hatiku tergerak untuk menjengah ke blog yang sudah agak lama kutinggalkan. Insya Allah kali ini aku ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian tentang perasaanku pagi ini.

         Syukur alhamdulillah pagi ini perasaanku lapang selapang-lapangnya ..selapang padang rumput di New Zealand . Aku bayangkan keindahan padang ragut di sana kerana pemandangannya yang begitu indah dengan cuacanya yang pasti nyaman sekali.

      Alangkah indah sekiranya aku dapat ke sana menikmati segala keindahan ciptaan Tuhan  kerana menerusi pembacaan dan pengalaman orang lain khabarnya bumi New Zealand antara tempat-tempat terindah di dunia ini. Namun aku sekadar mengukir impian di langit mimpiku... 




Sunday 18 December 2011

Cintaku Maya Zahra

 Nukilan :Norazlin Mohamad

Mat Rock itulah nama samaran yang aku gunakan semasa melayari laman sosial “facebook” yang sedang popular mempengaruhi minda dan budaya masyarakat    Malaysia mutakhir ini.Bagaikan suatu kewajipan bagiku setiap hari malah setiap kali masa terluang akan kuhabiskan masaku dengan mengadap skrin kecil mini komputer riba yang kumiliki hampir 2 bulan lepas.Itupun setelah aku kumpulkan hampir dua tahun kukeluarkan untuk membeli sebuah computer riba bersaiz kecil yang harganya kurang lebih ringgit Malaysia satu ribu dua ratus.

         Ketika aku sibuk membaca kiriman-kiriman daripada rakan-rakan di laman sosial itu,tiba-tiba muncul sebuah wajah yang tertutup indah.Cuma nampak sepasang mata yang bundar.Lalu tumpuanku terus ke wajah itu tertera di kotak foto wajah tersebut sebuah nama yang cukup indah dan unik bagiku...”Maya Zahra”.

         Maya Zahra ingin menjadi rakan anda.Segera aku menekan butang “permintaan menjadi rakan diterima”.Sekarang Maya Zahra telahpun menjadi sebahagian daripada rakan-rakanku yang sudah pun mencapai satu ribu lima puluh enam orang semuanya.Aku pun tidak menyangka dalam masa tiga bulan sahaja aku menyertai laman sosial ini aku sudah pun mempunyai satu ribu lebih orang rakan.

        Perlahan-lahan mataku meneliti profil Maya Zahra,statusnya belum mempunyai sebarang hubungan..”ahh lega,”kataku sendirian.Status itu dulu yang aku ingin ketahui.Agar perhubungan yang bakal diwujudkan mudah tanpa sebarang halangan.Usianya hamper mencecah 30-an,kiranya lima tahun lebih muda daripada usiaku.Aku teliti pula pekerjaannya , seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah rendah Islam di sebuah negeri di Pantai Timur,”Oh ustazah ..”fikirku barangkali.

       Aku mula menyapa insane di alam maya bernama Maya Zahra dengan kalimah mulia,”Assalamualaikum,”sesaat ..dua saat ..tiga saat ..aku menanti penuh debar.Apakah salam kuhulur akan bersambut ?

       Nada “pop” tanda mesej ku dibalas menyegerakan aku membuka tetingkap dialog,”waalaikumussalam” dan ada symbol senyum dihujung perkataan itu.Bertitik tolak dari situlah bermulanya episod baru dalam hidupku …

      Aku merenung ke dada langit yang luas membiru,hatiku menjadi lapang seluas langit yang sedang kutatap.Awan gemawan memutih melakari kebiruan langit.Sungguh aku teruja melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT.Tiba-tiba dalam gumpalan awan gemawan itu aku ternampak sepasang mata bundar yang indah dihiasi celak …Maya Zahra nama itu terbit dari bibirku.Entah mengapa tatkala menyebut nama itu,tatkala ternampak sepasang mata bundar itu…hatiku berbunga mekar.Perkenalan dengan Maya Zahra telah mendesak aku untuk memiliki sebuah computer riba yang sebelum ini tidak pernah terfikir olehku untuk memilikinya.

        Sebelum ini aku hanya menggunakan computer majikanku untuk tujuan bermain dengan permainan-permainan yang begitu banyak dan pelbagai di dalam talian.Bermula dengan pengetahuan yang sedikit mengenai penggunaan teknologi maklumat ini telah memdedahkan aku dengan laman sosial “facebook”.

         Aku hanyalah seorang pemandu lori kecil bersaiz 3 tan,tugasku saban hari mengangkut barang-barang dari kilang kecil majikanku ke kedai-kedai sekitar Bandar ini.Dengan kelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pankat 3,pekerjaan apakah lagi yang sesuai untukku?Sebenarnya aku sendiri sering termenung panjang memikirkan masa depanku yang belum tentu lagi haluan.Dalam usia sebegini,rakan-rakanku telah memiliki segala-galanya.Ada keluarga,ada isteri dan anak-anak,punya kerjaya yang bagus,kereta cantik,rumah dan harta benda yang semakin banyak terkumpul.Tetapi aku …apa yang aku ada ?

          “Ahh …”aku mengeluh sendirian.Sampai bilakah aku akan terus begini?Sedang usiaku beransur meniti hari .

           “Saudaraku,kata Pak Hamka hidup ini terdiri antara pahit dan manis,kalau selalu sahaja manis hati akan menjadi bosan,kalau selalu sahaja pahit hati akan menjadi rawan,oleh itu pahit dan manis adalah rencah kehidupan ..”

             Aku merenung kata-kata Pak Hamka yang tercoret indah di dinding laman sosial “facebook” milikku,kata-kata itu dihantar oleh Maya Zahra.Ada kebenarannya dan itulah yang ku lalui..kerawanan sepanjang hidupku kerana saban hari tiada yang manis kutemui hanyalah kepahitan,tawau dan kelat kurasai.

           “Aku insan sebatang kara di dunia ini, aku mengharungi hidup sendirian semenjak kecil lagi. Bukan belas bukan simpati yang aku tagih tetapi sekadar luahan hati untuk kau ketahui,”kata-kataku itu kuluahkan kepada insan yang sedang melayani ku di alam maya ini.Hanya sepasang matanya saja yang dapat kulihat,wajah dan suaranya tidak kuketahui.Cuma baris kata-katanya cukup membuatkan hati yang kusam hati bagai bercahaya semula.

          “Aku tidak memiliki apa-apa..”kataku lagi kepada Maya Zahra.Tiada suatu apa pun menjadi milik kita di dunia ini.Dunia ini hanya boleh dikuasai dengan ilmu pengetahuan bukan dengan harta benda dan kedudukan.”Aku merenung akan kebenaran kata-katanya.Dalam hati kecil aku memuji kebijaksanaan gadis ini.

           Ya benar,dunia hanya boleh dimiliki dengan ilmu pengetahuan.Dengan ilmu aku boleh menakluki dunia.Tanpa ilmu aku menjadi manusia yang hina kerana itu Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu dan memuliakan mereka berbanding dengan orang yang tidak berilmu.Orang yang berilmu seperti pohon yang berbuah dan orang ramai dapat menikmati buah tersebut.

           Pagi itu aku ke tempat kerja dengan semangat yang luar biasa.Tidak seperti selau aku melangkah lesu tetapi kali ini bagai langkah seorang perwira sehinggakan majikanku pun turut terperasan dengan perubahan sikapku.Tepat jam 8.00 pagi aku telahpun terpacak di stor untu memulakan kerja-kerja pemunggahan barang yang akan ku hantar ke kedai-kedai sekitar bandar ini.Selalunya paling awal jam 9 pagi baru aku akan kelihatan di sektar stor itupun setelah dipanggil beberapa kali oleh penjaga stor.Namun aku masih tidak dapat melaksanakan tugas-tugasku kerana penjaga stor pun masih belum kelihatan ,pintu stor tertutup rapat .

      “Membaca adalah anak kunci ilmu pengetahuan ,”kata-kata Maya Zahra terlintas dibenakku.Tatkala itu juga mataku terus fokus kea rah gerai mamak yang menjual akhbar.Aku terus melangkah ke gerai tersebut untuk membeli surat khabar ,suatu aktiviti yang julung-julung kali aku lakukan sebenarnya. Setelah membayar harga suratkhabar harian tersebut aku terus bergerak kembali ke arah setor dan sambil menunggu setor dibuka dan kedatangan kelindan yang akan membantu aku. Aku menilik satu demi satu ruang-ruang di dalam akhbar itu.

        Macam-macam berita dipaparkan, pembunuhan kejam, pembuangan bayi, rogol dan sebagainya membuat adakala aku menggeleng kepala sendirian melihat situasi masyarakat hari ini yang semakin hebat dilanda dengan kebejatan sosial.

        Tiba-tiba mataku tertumpu kepada satu sudut wawancara bersama penulis buku Travelog Rindu Eropah Tawan Damascus Munir Ramli. Aku tertarik dengan sebaris kata-kata yang di “hightlight” berbunyi …”Kembara seluruh dunia, berhenti bila pokai, jalan semula jika berduit ..”Fasa itu benar-benar telah memancing keinginanku untuk mengetahui apakah  yang tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Aku berazam untuk mendapatkan buku tersebut segera mungkin. Ini juga merupakan satu lagi julunh-julung kali berlaku dalam hidupku iaitu ingin memiliki sebuah buku.

        Malam itu seperti biasa selepas menunaikan solat Isyak aku melayai laman sosial facebook dengan harapan yang menggunung agar insan yang memberikan aku inspirasi sedang menunggu di situ.

        Maya Zahra terlebih dahulu menyambut kedatanganku dengan sapaan salam ukhuwwah dan aku menjawabnya dengan tenang. Kami pun mula berbual dengan pelbagai cerita dan perkara tetapi apa yang pasti kami belum pernah pun berbicara mengenai hati dan perasaan masing-masing. Kata-kata Maya lembut tapi bernada tegas. Isu-isu atau topik yang diutarakannya selalu mencabar mindaku, ini bermakna untuk berhadapan dengan wanita itu aku perlu melengkapi diriku dengan banyak pengetahuan.

        Gadis itu banyak menyuntik kesedaran dan keinsafan kepadaku tentang peri pentingnya ilmu pengetahuan. Aku jadi semakin teruja untuk melengkapkan diriku dengan ilmu kerana ilmu itu adalah iman kepada segala amalan dan dengan amalan itu akan membawa manusia ke arah ketaqwaan yang menjadi sumber kekuatan untuk manusia di dunia dan akhirat.

        Mengenali Maya Zahra menjadikan aku semakin optimis menjalani kehidupan ini. Segala kesedihan, keluhan dan kegelisahan hampir lenyap dari membelenggu hidup.

        “Saudaraku, jangan bersedih atas apa yang berlaku sepanjang kehidupanmu...seperti kesulitan yang kau lalui akan ada kemudahan yang akan menyusul kemudian hari, “ ahh… betapa indahnya hidupku jika aku dapat menawan dan memilikan wanita yang mengeluarkan kata-kata sakti ini. Tetapi ia Cuma jeritan yang gegarnya hanya di dalam hatiku, gegarnya tidak sampai ke mana apatah lagi untuk sampai ke pengetahuan empunya diri.

         Belum puas rasanya lagi aku berbicara dengannya lewat maya malam itu, tiba-tiba dia memohon mengundur diri kerana ada urusan yang perlu diselesaikannya. Dalam terpaksa aku merelakan pemergiannya ,sungguh berat rasa hatiku untuk melepaskannya. Aku mula merasakan ada bibit kerinduan yang mula menghiasi ukhuwwah ini.

         Meski malam semakin lewat namun mataku masih belum mampu tertutup rapat. Ketiadaan Maya Zahra di talian ketika ini membuatkan aku juga rasa tidak betah untuk berada lama di laman sesawang itu tanganku mengapai novel travelog Rindu  Eropah Tawan Damascus,aku telah pun berada di Damascus dan mula menghadiri
kelas bahasa Arab.Kegigihan dan usaha yang dilakukan penulis untuk menguasai bahasa al-quran itu telah memutik keinginan di dalam hatiku untuk mengenali,mempelajari dan menguasai bahasa tersebut.Penulis juga memberikan panduan yang berupa teknik menghafal cara pantas dan mudah.Aku menjadi semakin berminat untuk menguasai bahasa syurga ini .

          “Mat Rock,makin hensemlah awak sekarang ini.”Kerani Cina yang sebelum ini jarang berbicara dengan aku tiba-tiba menegurku dengan mesra.Barangkali dia juga menyedari perubahan yang sedang ku lakukan.Pagi tadi sebelum ke tempat kerja aku sempat menggunting sedikit hujung rambutku yang sebelum ini panjang dan ku ikat kemas.Manakala misaim dan janggutku yang kusut masai ku cukur rapi menjadi nipis.

             Nyonya manis itu masih lagi tersenyum-senyum dihadapanku.Aku sekadar membalas senyumannya sambil terus mengambil buku laporan dari atas mejanya dan terus berlalu pergi .

              Teguran kerani Cina itu tadi telah mengingatkan aku kepada gadis yang sedang berbunga di taman hatiku,Maya Zahra.Alangkah …jika Maya Zahra yang memberikan pujian itu.Aku melangkah dengan hati berbunga bahagia.Benarlah kata-kata Dr aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan atau (jangan bersedih)bahawa setelah kesulitan ada kemudahan.Buku itu juga telah kumiliki sebaik Maya Zahra menyarankan kepadaku agar membaca buku tersebut untuk bangkit dari kegagalan hidup dan ia merupakan buku yang sarat dengan motivasi.

               Sepanjang perjalanan mataku tidak pernah lepas memandang iklan-iklan yang menawarkan kelas pelajaran bahasa Arab.Akhirnya selepas aku singgah solat Zohor di sebuah masjid aku mendapat tahu masjid itu ada menyediakan kelas belajar bahasa Arab.Alhamdulillah nampaknya Allah SWT mempermudahkan urusanku.Hari-hari yang ku lalui semakin ceria dengan aktiviti aktiviti keilmuan yang menjadikan jadual hidupku semakin padat sehingga masaku untuk”jamming” bersama-sama dengan kawan-kawan lain semakin terbatas.

              Maya Zahra …nama yang telah menjadi bintang hatiku.Aku telah memahatkan nama itu disuatu ruang yang cukup istimewa dalam hatiku.Malam ini aku bertekad untuk meluahkan perasaanku lewat pertemuan kami nanti di alam maya.Sesuai aku menyelesaikan solat Isyak aku terus membuka komputer riba yang bagai nyawaku sekarang ini.
Minit-minit berlalu dengan begitu sahaja,insan yang kun anti tidak menjelma aku menjadi resah gelisah,alangkah seksanya sebuah penantian.Sudah hampir sejam aku menunggu di alam maya ini tetapi Maya Zahra tidak juga menjelma,aku beralih pandanganku ke dinding rumah menatap wajah jam bulat yang sudahpun menunjukkanjam 12 malam.Masih lagi Maya Zahra tidak muncul-muncul,aku gagahkan juga lagi mataku untuk terus menanti kemunculan Maya Zahra.Namun sehingga ke jam 4 pagi Maya Zahra tidak kunjung tiba.Ada kekecewaan yang kurasa namun aku buangkan perasaan itu jauh-jauh.aku pujuk hatiku.Mungkin Maya Zahra ada urusan yang penting tetapi mengapa dia tidak memaklumkan padaku?

             Hari ini sudah sebulan aku mengikuti kelas bahasa Arab,alhamdulillah banyak perbendaharaan yang sudah aku rasai.Hasrat dan cita-citaku untuk menerokai bidang ilmu menerusi penguasaan bahasa Arab semakin menampakkan kesannya.Dan hari ini juga sudah sebulan Maya Zahra membisu seribu bahasa entah ke mana menghilangnya tidak dapat aku mengesaninya.Laman sosialku menjadi semakin sepi tanpa kehadiran Maya Zahra namun dapat ku ubati kesepian itu dengan mendekatkan diri kepada Illahi.Tiap kali ingatanku  kepada Maya Zahra aku pasrahkan rinduku kepada Illahi kerana dialah yang memiliki dan menguasai sesuatu.Aku hanyalah insan yang lemah dan tiada daya upaya melainkan dengan pertolongannya jua.

             Benarlah ilmu mengangkat darjat manusia,kini tangan ku tidak lagi memegang stereng lori ..aku sudah di sini di sebuah institusi ilmu yang bakal menyiapkan diriku menjadi seorang Daie.Aku teringat kata-kata Muaz bin Jabal”,Pelajarilah ilmu dengan mempelajari ilmu kerana mengharapkan wajah Allah itu mencerminkan takut,mencari ilmu adalah ibadah,mengkajinya adalah tasbih,menuntutnya adalah jihad,mengajarnya kepada ahli keluarga adalah taqarrub..”

             Kedinginan malam menyucuk ke tulang sum-sumku,aku memandang dari jauh computer riba yang pernah menjadi nyawaku.Setelah sekian lama aku tinggalkan laman sosial yang pernah menjadi laman liburku kini aku kembali tergerak untuk membukanya semula.

             Aku masih setia menanti sebuah nama yang pernah ku puja suatu waktu dahulu Maya Zahra …namun sehingga kini pun dia masih dia tidak muncul jua.

             “Maya Zahra jika kau membaca catatanku ini …inilah kerinduan yang ingin ku titipkan kepadamu.Aku kini bukan lagi Mat Rock yang suatu waktu dulu hanya tahu merintih dan mengeluh menangisi nasib diri.Tetapi aku kini bakal seorang Daie yang akan melangkah ke gelanggan perjuangan.Terima kasih Maya Zahra engkaulah bintabg hati yang menjadi inspirasi perjalananku kea rah ini.Walau siapa pun engkau wahai Maya Zahra aku tetap terhutang budi denganmu,semoga dirimu sentiasa diberkati Allah SWT…”

          Ku akhiri coretan itu di dinding Maya Zahra yang sudah sekian lama tidak dikemaskini …

    


Saturday 3 December 2011

GURINDAM KASIH

Pulau Pandan jauh ke tengah
gunung daik bercabang tiga
hancur badan dikandung tanah
budi yang baik dikenang jua

Pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas boleh kubayar
hutang budi di bawa mati

Sorong papan tarik papan
buah keranji dalam perahu
moga Tuhan membalas segala kebaikan
Ibu dan bapa saudaraku , Haji Hasmil Zakaria dan Hjh Maimunah M.Said


     
bahagia dan berjaya selalu....

Friday 25 November 2011

AUKU...

Berita mengenai pindaan AUKU yang sedang hangat diperkatakan mengingatkan aku zaman di kampus yang telah kutinggalkan hampir 15 tahun...Begitu hebat politik kampus.Di UKM terdapat 2 kumpulan besar iaitu Islam Penyelamat Ummah (IPU) dan Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Bagi aku penglibatan mahasiswa dalam politik lebih mematangkan pemikiran mahasiswa. Sebagai individu yang pernah terlibat dengan politik kampus , ia langsung tidak mengganggu proses pembelajaran mahasiswa sebaliknya penglibatan tersebut akan mendedahkan lagi mahasiswa dengan dunia semasa sehingga mampu merangsang pemikiran mahasiswa dan menghasilkan tindakan-tindakan yang positif.

Diharapkan dengan pindaan AUKU akan mampu melahirkan mahasiswa yang lebih berwibawa dan perkasa dalam menentukan halatuju politik negara.

kenangan:pernah juga melibatkan diri dengan demonstrasi ketika itu demonstrasi
memprotes kezaliman terhadap rakyat Bosnia


Thursday 24 November 2011

GADISKU SEMALU YANG PEMALU


Gadisku Semalu Yang Pemalu
Gadisku,
Si merah jambu,
Yang pemalu bagai semalu,
Jika semalu itu pemalu,
Kau lebih malu dari semalu,
Malumu itu adalah keayuanmu.
Dan..
Hanya yang tahu,
Akan ketahuan,
Indahnya ayumu,
Bukan tampak di mata,
Tapi dilihat jiwa..
Gadisku si merah jambu yang pemalu,
Kekallah di lamanmu,
Yang terhias dengan semalu,
Kerna akan ada semilir syurga,
Yang memayungimu,
Hingga sampai waktu....
Pinggiran Tasik Aman, PJ

Monday 21 November 2011

Salam ukhuwwah...

Bersama sahabatku Rahimah Abdul Aziz...
Alhamdulillah...akhirnya tercapai jua hasratku untuk membina sebuah blog. Tanpa kusangka dan menyangka tiba-tiba pada malam penghujung Zulhijjah 1432 aku tergerak untuk mencipta blog kusendiri. Semoga memberikan manafaat buat semua..